Mungkin satu hari nanti atau anda sedang berminat untuk membeli sebidang tanah, pastikan status tanah tersebut bukan tanah lot lidi. Kenapa? Sebelum itu, lupakan hasrat itu sementara. Baca artikel ini anda akan melihat risiko bersangkut paut dengan pembelian tanah lot lidi ini.
Apa Itu Tanah Lot Lidi?
Tanah Lot Lidi ini juga boleh dipanggil sebagai tanah geran kongsi. Ia merupakan sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah tetapi kemudiannya dijual serta dipecahkan kepada lot yang lebih kecil sebagai tujuan membuat rumah atau pertanian. Ia pelihara oleh seorang pemilik asal sahaja dengan sebuah surat yang menjaminkan si dia ialah pemegang amanah terhadap tanah dikongsi ini.
Kegiatan menjual lot lidi yang semakin tidak terkawal kerana berpunca daripada masalah harga rumah yang semakin mahal. Penduduk Malaysia yang berminat membeli tanah terpancing dengan iklan tanah murah kerana terdesak mahu memiliki aset sedangkan tiada ilmu berkaitan jual beli hartanah.
Terdapat beberapa istilah yang anda perlu tahu dan faham sebelum menghabiskan artikel ini.
Pemegang Amanah
Seorang pemilik tanah yang melantik dirinya sendiri atau dilantik oleh semua pembeli-pembeli lot lidi untuk pegang amanah bagi semua pembeli dengan memberi kepercayaan agar satu nama sahaja diatas geran.
Surat Pemegang Amanah
Diantara semua pembeli tanah yang dikongsi dan pemegang amanah terdapat satu surat yang menyatakan bahawa Pemegang Amanah akan pegang hak di atas tanah berkenaan. Turut dipanggil sebagai Surat Ikatan Amanah.
Pusaka
Prosedur pembahagian tanah kepada waris selepas berlakunya kematian pemilik tanah.
1. Sukar Dipindah Milik
Bukannya tak boleh untuk mendapatkan hak geran. Akan tetapi, prosesnya menelan masa yang sangat lama. Membuat surat Pemegang Amanah baru sangat susah. Ini kerana pemilik asal lot tidak boleh menjual lotnya kepada orang lain .Tiada prosedur undang-undang sah yang boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli melainkan pembeli perlu menjadi pemegang amanah yang baru.
Pemegang Amanah kepada tanah bukan seperti pemilik tanah yang lain. Ia merupakan istilah tertentu bagi kategori tanah lot sebegini.
2. Nama Tiada Dalam Geran Tanah
Jika anda membeli tanah lot sahaja dan anda tahu anda cuma berkongsi tanah dengan orang lain, wajiblah anda tahu bahawa anda bukan pemilik tanah sebenar. Ianya milik pemegang amanah yang dilantik.
Jangan haraplah nama anda ada diatas geran tanah. Jika tanah lot lidi ini dibeli, nama anda TIDAK AKAN DITULIS dalam geran tersebut sebagai pemilik tanah. Ini berikutan, tanah dalam kategori ini cuma ada satu nama saja iaitu Pemegang Aamanah. Pemegang Amanah ialah pemilik asal kepada tanah ini.
3. Siapa Kata Boleh Bina Rumah?
Memandangkan tanah tu dah dibeli kenapa tak boleh buat rumah pulak?
Tanah lot lidi selalunya tanah lot yang bersyarat pertanian. Jika anda membina rumah di atas tanah ini, bermakna anda telah melanggar undang-undang berat seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara.
Anda boleh dikenakan denda dan lebih teruk tanah boleh dirampas.
4. Tiada Pampasan
Pihak kerajaan ada hak untuk mengambil tanah tersebut, cuma pemegang amanah sahaja yang dibenarkan menghadiri sesi pendengaran. Wang pampasan pula cuma dihadiahkan kepada Pemegang Amanah.
Pasti semua pemilik lot nak kan wang itu jugak kan? Kalau pemegang amanah tak mahu berkongsi dan lari dengan semua duit tu macam mana? Anda fikirlah sendiri.
5. Tidak Boleh Digadai
Melainkan anda pemegang amanah, mana mungkin anda boleh mengadaikan tanah tersebut kerana GERAN TANAH TIADA NAMA ANDA!
6. Masalah Sempadan Lot
Sempadan lot selalunya kurang jelas. Cuma dipisahkan dengan batu dan penanda ringkas. Ukurannya pula kurang tepat. Anda bayangkan jika ada orang bercucuk tanam 3 meter ditanah anda.
Bagaimana agaknya pertelingkahan antara pemilik lot.
7. Pemegang Amanah Meninggal Dunia
Inilah risiko yang paling mengerunkan untuk pemilik lot. Pemegang Amanah baru boleh dilantik. Tapi anda ingat mudah untuk melantik yang baru?
Bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan prosedur pusaka yang rumit, kosnya pula tinggi dan masa yang lama.
Sementara itu, mungkin berlaku perbalahan besar antara pemilik lot.
Elakkan Termakan Godaan Penjual Tanah Lot Lidi
-
- Mereka berjanji akan tukar syarat atas tanah itu selepas semua lot habis dijual.
- Berjanji akan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa.
- Berjanji akan pecahkan lot dengan sah menggunakan juruukur berlesen pada masa akan datang.
- Sempadan lot lidi bakal ditanam dengan batu sempadan.
- Mengatakan bahawa nama akan ditukar secara automatik jika Pemegang Amanah meninggal dunia.
- Tidak akan berlaku masalah kerana ada Surat Pemegang Amanah.
- Mengatakan bahawa tanah lot lidi ini sah dalam undang-undang.
Saudara Faiz menjelaskan mengapa jangan membeli tanah lot lidi didalam channel Youtube miliknya. Sila tonton untuk lebih pemahaman
Kesimpulan
Pejabat Tanah Dan Galian telah memberi amaran agar kita mengelakkan diri dari membuat pembelian lot lidi. Tidak apa jika tanah kita beli itu mahal asalkan ia berdiri dilandasan undang-undang. Masalah yang datang dimasa depan tidak boleh diramal. Risiko kerugian adalah lebih tinggi dari keuntungan membeli tanah yang murah. Kelak berlaku pula perbalahan dan konflik buruk setelah kita meninggal dunia. Jadi, pembelian tanah atau rumah sangat sangat memerlukan kajian menyeluruh dan mengetahui ilmu sebelum membuat keputusan berat ini.
Sumber Rujukan: Harian Metro