Setelah melakukan siasatan dan kaji soal selidik, Biro Penyelidikan Pemuda UMNO Malaysia telah mendapatkan hasil kajian soal selidik sebanyak 97.12 peratus atau sebanyak 21,524 individu memerlukan pengeluaran i-Citra RM10,000 (one off).
Menurut pengerusi biro penyelidikan pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Sarit menjelaskan bahawa peringkat umur antara 35 hingga 44 tahun adalah yang paling ramai memerlukan pengeluaran berkenaan. Kaum Melayu pula mencatatkan jumlah tertinggi.
“Berdasarkan bancian itu, antara alasan rakyat memerlukan pengeluaran berkenaan adalah disebabkan beban hutang, simpanan masa kecemasan, kelangsungan diri dan keluarga, pembayaran hutang semasa tertunggak semasa perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.
Azril Rizal yang mengetuai badan biro penyelidikan berkata, mereka telah diberikan mandat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menjalankan kajian secara rawak sejak tahun 2018.
Menurut beliau lagi, apabila kajian mengenai pengeluaran KWSP i-Citra berlaku, pihaknya juga telah membuat kajian di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka baru-baru ini.
“Kalau lihat dari segi kredibiliti jawatankuasa penyelidikan ini, kami sememangnya layak untuk buat andaian atau jangkaan bersandarkan kelulusan dan keupayaan yang dimiliki oleh ahli-ahli kami,” katanya.
Ketika disoal adakah hasil kajian ini akan di bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azril Rizal mengesahkan ia akan dilaksanakan.
“Kita akan bagi (kepada Perdana Menteri) dalam masa terdekat dan mungkin laporan ini akan dibentangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan mungkin keputusan selanjutnya akan dibuat oleh MKT nanti,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Penyelidikan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Nizar Najib menegaskan, kerajaan harus pertimbang kembali untuk membenarkan pengeluaran secara sekali berjumlah RM1,000 daripada KWSP itu.
“Saya percaya mereka akan gunakan sebaiknya-baiknya untuk kelangsungan keluarga dan survival pekerjaan masing-masing sebab kita juga perlu ingat ramai dalam kategori M40 sudah jatuh kepada B40 tapi dari segi klasifikasi masih dianggap M40.
“Jadi, golongan inilah yang perlukan bantuan i-Citra dan saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula perkara ini untuk bantu golongan yang kurang dapat perhatian ini,” katanya.
SUMBER : Sinar Harian