Parah! Kadar OPR Naik Lagi | Bunga Pinjaman Makin Meningkat
Baru baru ini , jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dari 2.00% kepada 2.25%.
Hal ini telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dalam sebuah kenyataan rasmi pada 6 julai 2022.
Pernyataan Dasar Monetari – BNM
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.
Pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi. Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.
Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.
Pada masa hadapan, kadar pertumbuhan global dijangka menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.
Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini. Penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.
Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.
Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.
Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.
Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4%. Meskipun purata tersebut dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2% hingga 3.2%, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.
Walau bagaimanapun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri.
Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.
Keputusan ini konsisten dengan pandangan MPC bahawa keadaan yang pertama kali berlaku ini sehingga memerlukan penetapan kadar OPR terendah yang pernah dicatatkan, kini semakin reda.
Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.
Bank Negara Malaysia
06 Julai 2022
Apa itu OPR?
OPR atau singkatan kepada Overnight Policy Rate ialah sebuah kadar yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia.
Apakah Punca OPR naik?
Faktor kepada kenapa OPR meningkat ialah ia adalah sebuah langkah dari bank pusat bagi menambah keseimbangan pertubuhan ekonomi negara selain membendung inflasi disamping dapat mengukuhkan mata wang ringgit.
Kesan Kenaikkan OPR
Kenaikan OPR akan mewujudkan kesan terhadap individu peminjam dalam aspek tempoh dimana tempoh pembayaran menjadi lebih panjang ataupun kadar pembayaran semakin tinggi.
Tindakan ini akan memberi pengaruh terhadap kemahuan rakyat Malaysia untuk membuat pinjaman atau berbelanja dalam kehidupan seharian mereka. Secara logiknya, jika mereka membayar komitmen dengan lebih tinggi mereka akan berkira-kira untuk berbelanja sesuka hati kerana kemahuan melampau. Hal ini boleh mengurangkan permintaan terhadap barangan dipasaran dan sekaligus membaiki ekonomi negara.
Dalam pemahaman yang lebih luas, perbelanjaan aliran tunai negara menjadi perlahan dan sekaligus meningkatkan simpanan negara.
Sumber : Bank Negara Malaysia
Dalam erti kata lain impak OPR naik adalah
- Jika buat pinjaman berdasarkan floating rate seperti ASBF, maka bayaran bulanan akan naik.
- Bayaran installment rumah turut akan naik. Jika terdapat baki hutang rumah semasa 250k, akan berlaku kenaikan lebih kurang RM 50 sebulan. Kalau 500K, maka kenaikan adalah lebih kurang RM 100 sebulan.
- Kesan daripada kenaikan OPR ialah segala pinjaman yang menggunakan kaedah floating rate akan mengalami kenaikan bayaran bulanan.