Cili adalah stok wajib di dapur kita kerana boleh dikatakan ia digunakan setiap hari dalam masakan. Selalunya kita akan beli dalam kuantiti yang banyak. Selalu juga berlaku bila beli banyak dan simpan lama dalam peti ais, cili tu mula lapuk dan reput.
Sayang dan rugi sebab cili mahal. Disebabkan itu, pelbagai cara dan petua dikongsi bagi memastikan cili ini dapat disimpan lama.
Selain menyimpan dalam bekas, pad tisu atau meletakkan bawang putih, terdapat satu lagi kaedah yang berkesan untuk memastikan cili kekal segar untuk jangka masa yang lama. 8 bulan masih baik. Petua dan tips ini dikongsikan oleh Puan Haslinda.
Cara menyimpan cili dalam botol! Tak pernah dengar lagi.
Tips simpan cili, masih segar walaupun dah 8 bulan
“Jiran berkebun dan menuai cili besar berkilo-kilo. Dia bagi saya cili bulan Januari. Saya masukkan dalam botol mineral dan simpan dalam peti ais. Walaupun sekarang dah hampir 8 bulan, semuanya masih segar.”
Guna Botol, Cara Simpan Cili Tahan Lama
Katanya, selain cili besar, kaedah ini juga boleh digunakan untuk menyimpan cili api.
Berikut adalah langkah yang perlu dilakukan untuk menyimpan cili :
1. Basuh dan toskan cili sehingga kering.
2. Sediakan botol mineral kosong kemudian masukkan cili ke dalamnya. Tak perlu buang tangkai.
3. Selepas masukkan cili, tutup botol dengan penutup.
4. Simpan sebotol cili di dalam peti sejuk di dalam petak sayur.
Selain cili tahan lama, anda juga boleh menggunakan semula botol mineral.
Semoga bermanfaat
Sumber : Puan Haslinda